Oct 14, 2011

CERPEN 1:


KERETA KANCIL UNTUK AYAH


             Jam menginjak ke angka 6. Sudah hampir sejam aku menunggu disitu, di perhentian bas itu sejak tiba dari Pulau Pinang. Namun bayangan Ayah masih belum kelihatan. Sesekali mata ku halakan ke arah beg-beg pakaian dan kotak berisi buku yang aku bawa pulang bersamaku. Sangat banyak, maklumlah aku sudah pun tamat pengajian peringkat ijazah. Hanya menunggu saat pengijazahan sahaja.

            Dengan pandangan malas bercampur mengantuk, aku masih setia menanti kehadiran Ayah. Bukan tiada teksi atau pun prebet sapu yang mampu menghantarku pulang, cuma ayah, dia lebih senang menjemputku sendiri. Bimbang akan keselamatanku. Anak gadis, katanya.

            “Nurul!” 

Suara yang memanggilku tiba-tiba itu menarik perhatian aku untuk mengangkat muka memandang empunya suara. Sebenarnya, tak perlu aku pandang, aku dapat meneka siapa gerangannya. Ayah!

Dari kejauhan aku nampak Ayah tersenyum lebar. Tangannya melambai-lambai ke arahku. Aku senyum sendiri. Ayah berbaju Melayu, berkain pelekat lusuh dan berkopiah. Pakaian yang biasa dia pakai, aku sudah maklum tentangnya. Itulah Ayah.

Aku melemparkan senyum manis. Serasa rindu yang bersarang terurai satu-persatu. Maklumlah, sudah beberapa bulan aku tidak bertemunya. Kali terakhir aku bertemunya sewaktu Raya Haji. Itu pun Awang, sepupuku yang menghantarku ke perhentian bas sementelah Ayah begitu sibuk dengan tugasnya bersama anak-anak kampung bergotong royong memasang khemah pengantin untuk perkahwinan jiran tetangga.

“Banyak barang Nurul…” Celah Ayah. 

Aku hanya tersenyum. Tangannya ku capai, lalu ku cium.

“Biasalah Ayah, dah habis belajar. Memang banyaklah barangnya…” Selorohku. Nasib baik ada Najihah, kawan sefakultiku. Dia lah yang membantu aku mengangkut semua barang-barang itu. Khalid juga.

Ku lihat Ayah, dia cuma tersenyum nipis. 

Itulah Ayah. Ayah pendiam orangnya. Bercakap bila perlu saja. Dulu, sewaktu aku masih kecil, aku selalu bersembunyi di belakang emak tatkala Ayah naik radang bila aku berbuat salah. Ayah pandai mengajar. Sekali sahaja, aku sudah takut untuk mengulangi kesalahan untuk kali yang kedua.

Aku segera mencapai barang-barang yang mampu dicapai dek tangan kecilku ini. Mana yang tak tergapai, aku biarkan dulu. Kalau dilihat pada barang-barang yang berlonggok itu, pasti dua, tiga kali juga mahu diangkutnya ke kereta ayah yang terletak di seberang jalan sana. Memang tempat biasa Ayah memarkir kereta buruknya itu.

Mata ku halakan ke arah Ayah. Ku lihat dia sedang tunduk, cuba mengangkat kotak besar yang berisi buku-buku pelajaran. 

“Tak apa Ayah! Nurul boleh angkat sendiri nanti. Ayah tak perlu angkut. Ayah dah lah tak sihat mana…” Ujarku, sedikit bimbang. Tak mahu ayah terus-terusan membebankan diri mahu mengangkat kotak yang maha berat itu sementelah aku pandang ayah, berkali-kali juga dia mencuba untuk mengangkat, namun gagal.

“Tak apa Nurul. Tengok Ayah, masih muda dan kuat. Pasti tak bermasalah nak angkat kotak ni…” Kata Ayah. Aku diam saja. “Lagipun kamu tu perempuan, tak manis orang tengok angkat-angkat barang berat macam ni. Ini kan kerja orang laki-laki…”

Aku diam lagi. Tak tahu apa yang nak ditokokkan lagi. Ayah memang begitu. Kalau dah nak, memang akan dipaksakan juga dirinya. Berkali-kali juga aku lihat Ayah gagal untuk mengangkat, serasa ada perasaan kasihan dalam hati ini. Namun apakan daya, aku tak mampu melawan kehendak ayah.

“Tengok, kan dah kata Ayah boleh.” Ujarnya sambil tersenyum bangga. Kotak berat itu diangkat tinggi-tinggi. Aku hanya senyum nipis. Tanganku ligat mengangkat sisa barangan yang tertinggal di lantai. Mahu diangkut semua sekaligus. Aku juga kuat seperti Ayah.

Perlahan aku membontot Ayah ke tempat Kereta Saga lamanya diparkir. Hati ku sedikit luluh. Sudah berpuluh tahun kereta itu setia dipandu Ayah. Sejak aku masih kecil, sehinggalah aku dewasa. TL 216. Ku sorot pandangan mata ke setiap inci kereta itu. Ada banyak yang mengguris hati. 

“Cepatlah letak barangnya. Ayah nak cepat-cepat balik. Nak kejar sembahyang berjemaah di surau.” Kata Ayah, mematikan lamunan aku. Ku lihat tangannya sudah membuka bonet kereta.

Cepat-cepat aku letak barang-barang yang bergantungan di tangan. Air mata yang mula merembes perlahan cepat-cepat aku seka dengan lengan baju kurung yang ku pakai. Tak mahu terlihat dek Ayah. Entah kenapa hatiku sebak benar kala ini.

“Kereta Ayah ni dah uzur. Sebab tu kena ikat macam ni…” Ujar Ayah, tanpa ku tanya. Ku lihat ayah mengikat tali pada pintu bonet kereta. Bimbang pintu bonet kereta terbuka agaknya.

Aku tersenyum. Padahal dalam hati, dah mula merasa sebak. Namun ku tahankan saja, tak mahu Ayah lihat air mata ku yang mula mengalir keluar. Aku segera meloloskan diri ke dalam kereta, duduk di sebelah Ayah. Sepanjang perjalanan ke rumah, Ayah diam tanpa sepatah kata. Aku pun turut ikut diam. Sememangnya Ayah kurang gemar bercakap kosong. Buang masa, katanya.

 Sesampainya di halaman rumah, dari jauh aku lihat bayangan Emak di muka pintu. Sennyum melebar di wajahnya. Mungkin agaknya sudah rindu benar. Saat Ayah siap memarkirkan kereta di bawah pohon jambu air, aku segera keluar, bergegas mendapatkan Emak. Rindu sungguh aku akan Emak. Tangan Emak aku cium, pipinya aku cium juga. Dapat aku rasakan hangatnya tubuh emak, bila tubuh gempalnya aku peluk.

“Ayah pergi surau dulu ya…” Ujar Ayah seraya ke bawah rumah. 

Aku hanya mengangguk sambil tersenyum. Tak lama, aku dengar ada bunyi muncul dari bawah rumah. Aku tahu, itu bunyi motor Honda Cup lama ayah. TH 7193. Motosikal buruk itulah yang setia menghantarku ke sekolah masa aku kecil-kecil dulu.

Aku sorot pandangan ke arah Ayah yang semakin lama semakin lenyap. Akhirnya menghilang ke jalan raya. Lantas ku kembali menghadap emak yang lengkap berbaju sembahyang. Muka yang sedikit cengkung itu aku usap perlahan dengan tapak tangan ku.

“Mak dah kurus…” Ujar ku perlahan.

Aku lihat emak senyum nipis. “Emak tak selera nak makan. Mak tunggu kamu balik, rindu nak rasa masakan kamu…” Balasnya.

Aku tersenyum lagi. Entah kenapa, bila terpandangkan wajah emak, hati ku serasa bertambah sebak. Seperti Ayah, Emak juga semakin tua dimamah waktu. Tangan tua itu menggenggam telapak tanganku makin kuat.

“Mari solat subuh sama-sama. Kita solat berjemaah…” Ujar Emak lagi. 

Aku diam, lalu mengangguk perlahan. Itu seperti sudah jadi kebiasaan bila aku pulang ke kampung.

“Baik… Nurul pergi ambil wudhuk dulu ya, mak…” Balas ku sambil berlalu ke bilik air yang terletak di belakang rumah.

^^^^^^

            Aku tersengih sendiri membaca mesej-mesej dari Khalid. Buah hati ku itu memang benar bermulut manis! Pandai benar mengambil hatiku. Membuat aku terasa seperti permaisuri, dilayan bagai sang ratu. 

            Sedang leka aku ketawa sendiri, aku tak sedar akan emak yang menghampiriku dengan wajah sedikit berkerut. Pelik agaknya melihat ku ketawa sendiri. Ada riak sangsi di wajahnya. Aku faham, mungkin tertanya-tanya apa yang menyebabkan aku ketawa sendiri.

            “Apa yang lucu sangat tu, Nurul…?” Soal Emak, perlahan melabuhkan punggung di sebelah ku. 

            Aku terus diam. Telefon Nokia aku sorokkan sedikit di belakang. Mata aku halakan ke arah wajah Emak. 

            “Tak ada apa mak. Ini hah, kawan Nurul hantar mesej…” Ujar ku, separuh. Siapa gerangannya tidak ku beritahu. Bimbang pula Emak akan menyoal bagai.

            “Oh… siapa?”

            Mendengarkan soalan Emak, aku jadi kelu. Patutkah aku berterus terang? Atau berbohong saja? Bukan aku tak tahu, Emak kurang suka kalau tahu aku sedang bercinta. Muda lagi, katanya.

 “Erm, kawan se-universiti Nurul… Dia kirim salam pada mak…”

            “Oh… Waalaikumussalam…” Balas Emak pendek. 

Aku menanti soalan seterusnya keluar dari bibir Emak. Namun setelah beberapa ketika menunggu, akhirnya aku mengusap dada dengan perasaan lega. Aku dalam diam bersyukur. Nasib baik Emak tidak mengutarakan soalan maut itu! Kalau tidak, terpaksalah aku bohong sunat!

            “Assalamualaikum…” Sayup-sayup suara Ayah kedengaran di tangga. Aku senyum. Ayah pasti penat. Segera aku menghampiri Ayah. Ingin menyalami orang tua itu, namun perbuatanku ditolak. 

            “Tak apa, tangan Ayah kotor ni. Kena minyak hitam…”

            Itulah alasan yang selalu diberi ayah. Aku pandang tangan Ayah yang berlumuran minyak hitam itu. Masih seperti dulu. Dulu Ayah seorang mekanik. Kini, setelah hampir 50 tahun, Ayah tetap juga seorang mekanik. Tiada satu pun yang berubah. 

            Aku membontot Ayah ke dapur. Aku tahu, dia pasti akan suka dengan masakan aku. Lauk kegemaran Ayah tak susah. Ikan singgang, ikan goreng dengan sambal belacan dan timun. Itu lauk paling disukainya, dan lauk wajib masak di rumah. Kadang-kadang Ayah pandai mengambil hatiku. Dikatanya masakan aku lebih sedap dari Emak. Terkadang Emak merajuk dan meradang, padahal aku tahu, Ayah cuma bergurau. Tiada yang dapat menandingi masakan Emak. Aku pun belajar dari Emak.

Aku pandang Ayah. Dia masih leka membersihkan kesan-kesan minyak hitam di tangannya. 

            “Nurul masak apa hari ini?” Tanya Ayah.

            Aku senyum. Tudung saji aku buka. 

            “Nurul masak lauk kegemaran Ayah!” Ujarku riang. 

Ku lihat wajah Ayah ikut ceria. Laju saja tangannya menceduk kuah ikan singgang ke dalam pinggan nasinya. Aku cuma termangu di situ. Setia memerhatikan tiap gerak geri Ayah.

            “Sedap sungguh Nurul masak!” Puji Ayah. Aku tersengih, ikut bangga. Dan pabila Ayah menghulurkan pinggannya, minta ditambah nasinya, aku sengih menjadi-jadi.

            “Habis, apa plan Nurul lepas ni?” Tanya Ayah sambil terus-menerus menyuap nasi ke mulutnya.

            Sengihan yang melebar tadi mulai kendur. Aku terus diam. Haruskah aku khabarkan apa yang aku rancangkan selama ini?

            “Nurul ingat, Nurul nak sambung master…” Ujar ku. Tetap berterus terang, walaupun sedikit bimbang mengenai  penerimaan Ayah tentangnya. 

Sungguh aku tak dapat berbohong tatkala mataku bertembung dengan sepasang mata redup milik Ayah. Redup mata Ayah, buat jiwa matang ku kendur, serasa mahu kembali menjadi keanak-anakan. Aku tak mampu untuk berlagak dewasa di depan Ayah. Kerana aku tetap mahu aku kelihatan seperti anak gadis kecil dimatanya. Yang pernah dimanjanya dan ditatangnya bagai minyak yang penuh suatu ketika dulu.

“Oh, sambung lagi? Baguslah…” Ujar Ayah dengan nada mendatar.

Ku dengar nada suara Ayah mula mengendur. Dan aku tahu apa sebabnya. Duit. 

“Tapi, duit nak sambung belajar nanti…?” Nah, tekaan aku sememangnya tepat. Ku pandang Ayah. Kerutan seribu terlakar di wajahnya. Garis kerisauan muncul dengan jelas.

Duit adalah masalah paling besar yang aku ada sementelah aku bukan anak orang berada. Dan aku juga bukanlah terlalu bijak untuk mendapatkan biasiswa. Tiada jalan lain selain daripada memohon pinjaman dari PTPTN. Mahu atau tidak, cuma itu pilihan yang aku ada.

“Tak apa. Nurul boleh pinjam dengan PTPTN…” Jawab aku, antara dengar dan tidak. Aku angkat muka menghadap Ayah. Mahu memberi keyakinan kepadanya bahawasanya dia tidak perlu risau akan aku. Aku sudah besar, dan aku tak mahu lagi membebankan dia di saat usianya menginjak melewati hari-hari tuanya.

“Hmm… sampai bila kamu nak berhutang dengan PTPTN? Gunalah duit dari simpanan Ayah. Ayah ada simpankan sedikit untuk biaya pelajaran kamu…” 

“Tapi Ayah…” Belum sempat aku membantah, Ayah mencelah.

“Kamu masih lagi di bawah tanggungjawab Ayah. Itu dah memang jadi tugas Ayah.” Ujarnya, memberikan hujah yang tak mampu aku tentang lagi. Ucapan Ayah buat aku tambah sebak. Usia ku kini 22 tahun, dan selama 22 tahun itulah aku sudah menyusahkan Ayah siang malam. Namun aku tak mampu nak menghalang.

            “Amboi… mentang-mentang anak kesayangan dia dah balik, berselera benar makannya. Nak buat macam mana, kita masak tak sedap…” Ujar Emak dari belakang.

            Aku dan Ayah saling berpandangan. Ayah ketawa kecil. Aku pula masih sebak dengan kata-kata Ayah, lalu aku berkeputusan untuk diam saja. Aku pandang wajah Emak, lalu tersenyum nipis. Aku tahu, emak bergurau.

Emak selalu memanggilku sebagai anak Ayah. Iyalah, aku lah yang setia menemani Ayah ke kebun, kadang-kadang menemaninya memancing udang sampai larut malam. Itu sememangnya hobi Ayah. Pernah aku sampai tertidur di dalam kereta buruk ayah dek terlampau mengantuk sewaktu menemani Ayah memancing. Dan Emak selalu membebel panjang tatkala melihat kesan-kesan gigitan nyamuk di badanku. Ayah juga yang dipersalahkan, walhal aku sendiri yang nak sangat menemani Ayah. Bukan degil, cuma aku kasihankan Ayah. Tiada teman untuk berbual, dan berbicara. Ayah mesti bosan sendiri.

            Ayah jugalah yang selalu membelaku tatkala aku dimarahi teruk oleh Emak. Kadang-kadang bila ku fikir balik, serasa Ayah umpama ibu aku, dan Emak pula umpama Ayah. Di sebalik perwatakan Ayah yang pendiam dan kelihatan serius itu, ada lawak dan lucunya. Ayah jarang benar membuatku menangis. Ayah pandai memujukku. Anak perempuan kesayangannya. Oh, aku hampir terlupa, aku bukanlah yang paling disayang. Kak Long. Kak Long lah yang paling dicinta Ayah. Anak sulung Ayah. Permata hati Ayah. Dan aku cuma pengganti permatanya yang hilang perlahan-lahan dari sisinya.

            Pernah sewaktu aku merajuk dimarahi Emak, Ayah memujukku. Dia memasak mi segera kegemaranku, siap dengan telur, udang, ayam dan macam-macam! Itu kali pertama dan kali terakhir aku merasa air tangan Ayah.

            “Merajuk pulak lah mak kamu tuh…” Kata Ayah mematikan lamunan aku. Aku segera menghalakan pandanganku pada Emak. Wanita itu hanya senyum memandangku. Aku mengerti akan senyuman itu. Emak cuma bercanda.

            “Alah Ayah! Kalau bukan sebab Nurul berguru dengan mak, tak mungkin Nurul boleh masak sesedap ini!” Ujarku lantas berlalu mendekati emak yang duduk di anak tangga dapur. Perlahan aku melabuhkan punggung disebelah emak. Tubuh wanita itu ku peluk dengan sebelah lenganku.

            “Alah, pandai kamu nak ambil hati mak…” Ujarnya bersahaja.

            Aku diam sambil tersenyum. Emak, pandai betul dia membaca isi hati aku. Sememangnya itu niat ku.

            “Dah lah merajuk, emaknya… Ayah rasa, masakan emaknya lagi sedap…” Ujar Ayah sambil mengenyitkan matanya ke arah ku. Supaya aku maklum tentang niatnya untuk memujuk Emak. Aku cuma senyum tawar.

            Sekilas ku hala pandangan ke arah Emak. Emak senyum simpul. Ayah tarik tangan Emak ke tengah laman rumah. Aku masih termangu, tak bergerak barang selangkah. Mataku ralit memerhatikan Ayah dan Emak yang beriringan ke tengah laman rumah.

            Tanpa sedar, aku menguntum senyum. Melihatkan kemesraan Ayah dan Emak yang tak pernah pudar. Meskipun usia perkahwinan dah mencecah lebih 3 dekad. Masih setia menyulam cinta. Masih utuh menjaring sayang.

            Aku juga mahu mencari calon suami seperti Ayah. Yang tahu mengakui salahnya, yang pandai memujuk, setia menemani Emak menjahit pakaian di tengah laman rumah. Lelaki romantik seperti Ayah. Dan Alhamdulillah, aku dapat melihat kesemua ciri-ciri tersebut dalam diri Khalid. Lelaki yang benar-benar telah mencuri hati ku. Cuma dia, hanya dia.

^^^^^^

            Masa kian berlalu, kini hampir dua bulan aku kembali bergelar mahasiswa di universiti ini. Masih universiti yang sama, cuma berlainan tahap pengajian. Aku kini bergelar pelajar master, sesuatu yang membanggakan bagi orang kampung seperti Ayah dan Emak.

            Sewaktu mula-mula menjejakkan kaki untuk pengajian kali kedua di universiti ini, Ayah dan Emak adalah orang yang paling gembira. Habis dicanang sekampung, katanya aku sambung belajar master. Walhal aku taklah merasa sehebat mana. Cuma tekanan yang bertambah dan mengurangkan rasional aku dalam berfikir. Sampaikan Khalid turut terkena tempiasnya. Kasihan Khalid. Sabar benar melayan kerenahku. Namun lelaki yang seorang itu, pandai benar melayanku. Dari rasa berapi, terus sejuk macam berendam dalam kolam air batu! Lelaki itu, istimewa! Tak mampu aku ungkapkan dengan kata-kata.
           
            “Sayang!” Aku segera berpaling.

Entah bila, Khalid tiba-tiba muncul di belakangku. Bersama sejambak bunga. Mawar merah. Memang kegemaranku. 

            “Khal ni… terkejut Nurul!” Marahku pada Khalid. Bukan niat, spontan termarah. Namun Khalid senyum saja. Senyuman manis itu yang membuatku semakin angau. Angau dengan cinta Khalid.

            “Tak sudi nak terima lambang cinta Khal pada Nurul ke?” Jambangan bunga itu dihulur ke arah ku. Aku cuma senyum simpul. Tak habis-habis si Khalid ini dengan kejutan romantisnya. Sewaktu dia menelefon ku mengatakan dia harus berjumpa ku untuk suatu urusan penting, aku bergegas turun ke bawah asrama. Dan rupa-rupanya, itulah kejutannya!

            “Iya, Khal sayang…” Ujar ku sambil menyambut jambangan bunga tersebut.

            “And one more thing, sayang…” 

            Kata-kata Khalid buat jiwaku tambah kacau. Apa lagi kejutan yang ingin dipersembahkan olehnya untukku?

            Wajah Khalid ku pandang dengan perasaan bercampur baur. Cuba mengagak apa yang bakal dilakukannya. Dan tatkala Khalid tiba-tiba melutut, dan sebentuk cincin emas belah rotan dikeluarkan dari poket seluarnya, terus lidah ku jadi kelu. Serasa mahu pengsan, lututku tak mampu untuk terus berdiri.

            “Will you marry me...?” 

            Pertanyaan Khalid buat aku serasa tak berpijak dibumi lagi. Entah apa sebabnya, apa terlalu gembira, atau terlalu terkejut menerima perkhabaran tersebut, aku tak pasti. Yang pasti dia, Khalid! Khalid melamarku menjadi isterinya! Perkara yang sememangnya dinantikan oleh aku, sementelah aku benar-benar mencintai dia!

            “Khal tak mahu terus mencintai Nurul sebagai kekasih, tapi Khal nak mencintai Nurul sebagai suami… Sudikah Nurul terima Khal sebagai suami Nurul?” Soal dia lagi.

            Lidah aku kelu. Sendi ku mula goyah. Aku tak mampu bersuara untuk menjawab soalannya. Hanya anggukkan sahaja yang mampu aku beri. Ku pandang Khalid, dia hampir menitiskan air mata. Untuk pertama kalinya terlihat dek aku. Dan aku tahu, itu air mata terharu. Terharu aku bersetuju untuk menerimanya sebagai suami.

^^^^^

            Dek lamaran mengejut dari Khalid, aku beranikan diri untuk pulang ke kampung. Pada mulanya Ayah dan Emak seakan terkejut. Iyalah, bukan waktu cuti, tapi aku balik juga. Terpaksalah aku berbohong. Kata dah rindukan kampung.

            Aku pandang Emak yang sedang leka menjahit. Beberapa helai seluar kerja lusuh milik Ayah bertaburan di tengah laman rumah. Ku pandang sehelai demi sehelai seluar kerja Ayah. Semuanya bertampal, koyak rabak sana-sini. Namun masih setia di pakai Ayah. Ayah tak pernah mengeluh. Apa yang ada, yang itulah yang dipakainya. Itulah yang tersarung di badannya. 

            Aku berkira-kira dengan diri, samada ingin memberitahu perihal sebenar. Tentang lamaran Khalid dan keinginanku untuk mendirikan rumahtangga. Namun hatiku sangsi, bimbang sungguh andai Emak menolak keputusanku ini. Alsannya mungkin kerana aku masih belajar.

            “Mak…” Perlahan aku dekati Emak yang sedang leka menjahit.

            Emak menanggalkan cermin matanya, lantas mengangkat muka menghadapku yang sedang duduk dihadapannya.

            “Ada apa Nurul…?” Tanya Emak. Kerutan diwajahnya jelas kelihatan. Tanda dia benar-benar mahu tahu apa yang ingin disuarakan oleh aku. Namun kerongkong ku serasa masih tersumbat. Suara yang ku mahu tetap tak keluar.

            “Ada apa Nurul?” Soal Emak lagi. Aku masih lagi berkira-kira. Separuh hati berkata ya, separuh lagi tidak. Apa yang harus aku lakukan?

            “Sebenarnya…” Mati lagi bait ayat itu. Sesungguhnya aku tak punya kekuatan untuk melafazkan. Benar aku tak punya kekuatan.

            Ku lihat wajah Emak masih setia menantikan kata-kata dari ku. Buat debarku bertambah-tambah kencangnya.

            “Sebenarnya, Nurul dah ada kekasih. Khalid namanya…” Tuturku, jujur. Aku tak mahu lagi berbohong. Ku pandang Emak. Reaksinya semacam terkena renjatan elektrik. Terkejut besar. Dan itu sudah pun ku agak.

            “Jadi…?” Tanya Emak, acuh tak acuh. Biar aku tahu, dia tahu apa yang ingin ku perkatakan selanjutnya.

            “Dan kami bercadang untuk melangsungkan perkahwinan…” Ujarku dengan nada biasa. Sudah hilang keterujaanku dek terpandangkan reaksi Emak.

            “Emak tak setuju!” Bantah Emak.

            Aku terdiam. Aku biarkan Emak berhujah dulu. Sedari dulu aku diajar untuk menghormati yang lebih tua. Emak bukan sekadar orang tua yang harus aku hormati, tetapi juga merupakan syurga aku kelak. Syurgaku di bawah telapak kakinya.

            “Kalau kamu kata kamu nak kahwin sekarang, emak tak setuju!” Tokok Emak lagi. Sergahan Emak itu buat aku benar-benar kecil hati. Tak pernah Emak menengkingku sebegitu rupa.

            “Tapi kenapa mak? Khalid ikhlas terima Nurul mak…” Ujarku, cuba mempertahankan permintaanku. Bukan niatku untuk membantah, cuma aku rasa sedikit terguris saat Emak menolaknya bulat-bulat.

            “Ikhlas atau tidak, bukan itu soalnya. Masalahnya, Emak tak mahu kamu kahwin sekarang, sebelum kamu tamat pengajian master kamu dan dapat kerja tetap! Itu saja! Bukannya emak tak suka pada Khalid, atau sesiapa saja pilihan kamu, cuma masa yang kamu pilih ni, bukan masa yang sesuai!” Marah Emak.

            Aku diam lagi. Masih memikirkan rasionalnya kata Emak. 

            “Bukan niat mak nak halang niat baik kamu tu, tapi fikirkan hati Ayah. Hati Ayah yang pernah terluka, takkan kamu tergamak nak biar luka lama Ayah kamu kembali berdarah? Jangan jadi seperti Kak Long kamu! Dia dah benar-benar mengecewakan Ayah kamu. Dan mak harap, kamu tak akan tegar untuk kecewakan hati Ayah sekali lagi…” Ujar Emak dalam sendu. 

            Aku terdiam. 

Perlahan ku angkat muka menghadap Emak. Ku lihat Emak mula menitiskan air mata. Air mata yang merembes di kesat dengan lengan baju kurung Kedah yang dipakainya. Hancur hati aku bila ku lihat Emak menitiskan air mata. Tiba-tiba hatiku serasa sebal dan penuh kesal. Kenapa aku terlalu pentingkan diri?

“Maafkan Nurul mak… Nurul tak berniat nak lukakan hati mak…” Ujarku. Sedikit kesal. Tak mahu Emak fikir aku terlalu pentingkan diri.

“Kalau betul Nurul sayangkan Emak, tolonglah jangan kecewakan Ayah. Tolong jangan lukakan hati Ayah macam yang Kak Long kamu pernah buat dulu…”

Usai berkata demikian, Emak terus mengangkat kaki ke kamar tanpa sempat aku berkata apa-apa. Mungkin Emak sengaja mahu memberi aku ruang untuk berfikir sedalam-dalamnya.

            Aku melangkah longlai ke kamar tidur dengan perasaan bercampur baur. Tentang Ayah. Tentang Emak. Tentang Khalid. Dan tak lupa, tentang Kak Long…

Peristiwa Kak Long kembali menjengah di ingatan. Peristiwa yang berlaku tak lama dulu itu masih segar dalam kotak ingatan. Betapa kecewanya Ayah tatkala Kak Long memperlakukan Ayah sebegitu. Aku tahu, harapan Ayah pada Kak Long tersangat tinggi. Kak Long terlalu dicintai Ayah. Kata Emak, Kak Long memang buah hati Ayah. Sebelum aku menjadi penggantinya.

Kak Long memang anak yang manja. Namun masih mendengar kata. Kak Long selalu dibawa Ayah bersiar-siar di kampung pada waktu petangnya. Orang kampung sedia maklum akan perangai Ayah. Sehingga orang kampung mengatakan Ayah cuma punya seorang anak, iaitu Kak Long. Itu yang membuatkan aku sedikit mencemburui Kak Long.

Kak Long merupakan pelajar yang cemerlang. Selalu mendapat nombor satu di dalam kelasnya. Cukup membanggakan Ayah. Kak Long memang bijak. Rupa parasnya cantik, mulus. Jauh bezanya kalau nak dibandingkan dengan aku. Kulit Kak Long lembut, putih melepak. Sedang aku, hitam legam seperti bontot kuali. Kata emak, sewaktu kecil dulu, aku gemar benar bermain panas. Sebab itu hitam.

Beza umur aku dengan Kak Long, sembilan tahun. Kata Emak, untuk mendapatkan aku, Emak hampir tiga, empat kali keguguran. Mujur janin yang terkandung aku, melekat kuat di rahimnya. Kalau tidak, pasti aku tak merasa nak bernafas di dunia ini. 

Jadinya, dek jarak umur yang sangat besar, aku tak rapat mana dengan Kak Long, walaupun faktanya, Kak Long itu satu-satunya adik-beradik yang aku ada. Bila Kak Long masuk matrik, aku masih bersekolah rendah. Jarang berjumpa dengannya. Dan bila Kak Long belajar di universiti, aku mula bersekolah menengah di sekolah berasrama penuh. Makin jarang bersua muka. Kalau bersua pun, sewaktu dia pulang ke kampung untuk bercuti sempena cuti perayaan. Selebihnya, aku jarang benar jumpa dia.

Namun, panas yang diharap sampai ke petang, tak kesampaian, dek munculnya mendung di tengahari. Belum pun tamat pengajian di universiti, Kak Long pulang ke kampung dengan segunung harapan yang telah meremuk-redamkan hati Ayah. Pulangnya bukan kerana rindu, tapi dek mahu menyuarakan hasrat hatinya untuk berkahwin. 

Ayah bukan membantah. Cuma Ayah mahu Kak Long berjaya dulu, barulah berfikir akan soal mendirikan rumahtangga. Ayah cuma mahu Kak Long membalas tidak banyak, cuma sedikit jasanya yang telah banyak dicurahkan untuk Kak Long. Supaya Ayah boleh berbangga dengan kejayaan Kak Long, bukan berniat mahu menumpang harta dan kesenangannya.

Namun bukan itu yang difahami Kak Long. Kak Long fikir Ayah tak menyayanginya. Kak Long fikir Emak dengki akan kebahagiaan yang mahu digapainya bersama bakal suami. Kak Long fikir Ayah dan Emak mahu mempergunakannya untuk kepentingan peribadi.

Mengingatkan perihal Kak Long, sesak di hati tambah menjadi-jadi. Sungguh aku kesal. Tambah kesal bila teringatkan yang aku kini sedang mengulang kembali kesilapan yang pernah dilakukan Kak Long dulu. Suatu kesilapan yang mampu membuatkan luka di hati Ayah kembali berdarah.

Aku beristighfar panjang. Mula menyedari salah dan silap sendiri. Perlahan air mata ku gugur membasahi pipi. Makin lama, makin lebat. Tersedu-sedan dibuatnya. Sungguh aku tak mampu untuk menahan diri dari terus mengalirkan air mata. Aku menangis sekuat hati. Aku merintih sepuas-puasnya. Aku meratap hiba sejujurnya. Aku luahkan apa yang terbuku di hati.

Dan malam ini bakal jadi saksi, aku akan lepaskan Khalid, andai dia tak mampu menerima keputusanku dan tak betah lagi menungguku…

^^^^^^

            “Kenapa bengkak mata tuh?” Soal Ayah sewaktu aku menyediakan sarapan untuknya.

            Aku diam. Tak menjawab barang sepatah. Namun tatkala terpandangkan wajah Emak yang sayu memandangku, aku cuba juga untuk bersuara. Agar Ayah tak perasan akan apa yang telah terjadi.

            “Tak ada apa Ayah. Semalam Nurul tidur lewat, siapkan assignment.” Ujar ku. Berbohong. Cuma itu yang terlintas di benak fikiranku. Ayah senyum lantas menggeleng.

            Usai meneguk secawan kopi, aku terus ke tengah laman rumah. Dadaku sebak tatkala terpandangkan wajah Ayah. Aku mula menyalahkan diri sendiri kerana terlalu ikutkan perasaan kemaruk bercinta. Sehingga aku lupa nak membahagiakan Ayah dan Emak, orang yang selama ini telah bersusah payah membesarkan aku dan mencukupkan segala keperluan aku. Hanya kerana cinta seorang lelaki, aku ketepikan dua malaikat yang selama ini setia menjagaku dalam susah juga senang. Aku buta!

            “Ayahnya, beras dah habis. Barang dapur lain pun dah hampir habis…”

Ku dengar suara emak sayup-sayup dari dapur. Perlahan aku bangun, mendekatkan diri ke dinding kayu yang memisahkan ruang dapur dengan tengah laman rumah. Mahu mendengar dengan lebih jelas apa yang disuarakan oleh malaikat-malaikatku.

“Beras dah habis? Nantilah Ayah pergi kedai Samad tuh, hutang dulu sekampit beras dengan dia. Yang lain, nanti ayah usahakan. Manalah tahu, hari ini ada rezeki lebih, ayah beri emaknya, duit dapur ya?” Kini jelas ku dengar suara Ayah.

Entah kenapa, laju saja air mataku menitik gugur ke bumi. Tak mampu ku tahan.

“Ayah… tak nak cuba telefon Along ke? Manalah tahu, dia boleh hulur seratus dua. Boleh buat duit belanja rumah…” Cadang Emak.

Aku menekup mulutku dengan tapak tangan. Tak mahu bunyi sedu tangisku ditangkap telinga Ayah. Aku tak mahu mereka tahu, aku sedang mendengar.

“Tak perlulah Yah. Selagi Ayah ada, selagi Ayah mampu bagi duit belanja, tak perlulah Yah susahkan anak-anak. Along dah pun berkeluarga, dah ada tanggungjawab sendiri. Dah tak boleh nak diharap membantu kita. Ingat Yah, jangan pernah susahkan anak-anak. Selagi Ayah bernyawa, biar Ayah saja tanggung Yah. Ayah kan suami Yah…”

Sumpah, jantung aku seakan berhenti tatkala mendengarkan bait kata yang diucap Ayah. Sumpah, lidahku kelu untuk menyampuk, apatah lagi mahu bersuara. Aku hanya mampu menangis, menangis dan menangis. Serasa kata Ayah umpama sembilu, menghiris tajam hati aku, jadi berkeping-keping. Serasa saat itu juga aku mahu memeluk Ayah, meminta ampun dan maaf darinya atas keterlanjuran aku mencintai seorang lelaki yang baru aku kenali melebihi kecintaan aku pada dirinya yang sudah berpuluh tahun menjagaku, setia di sisiku! Aku malu pada diri aku! Aku benci menjadi diri aku.

“Ayah…” Panggil Emak perlahan. Segera ku seka air mata yang berlinangan di pipi. Mahu mendengar saki baki perbualan Emak dan Ayah.

“Tak apa Yah. Ayah baik-baik saja.” Ucap Ayah. Ku dengar nada suara Ayah mulai berubah.

Aku mengintai di celahan dinding yang sedikit berlubang. Aku nampak Ayah memeluk Emak erat. Seakan tak mahu dilepas langsung. Ku intai lagi. Ku lihat ayah menyeka air matanya dengan lengannya. Ayah menangis! Hati ku bertambah pilu.

“Entah apa nasib kita, Yah… Anak orang lain, bila dah dapat gaji, dibelinya mak ayah macam-macam. Anak si Sidiq tuh, dihadiahkan anak dia untu dia sebuah kereta kancil. Dapat juga sebiji kereta baru. Kita, apa pun tak ada…” Tambah Ayah lagi. Namun kali ini nadanya berubah lagi. Kelihatannya Ayah seperti mahu bercanda. Padahal aku tahu, itu isi hati Ayah. Apa yang dia rasa, apa yang dia fikir.

Hati aku membengkak. Serasa mahu meletup. Andai aku punya banyak duit sekarang ini, cuma satu yang aku ingin lakukan. Membelikan segala-galanya untuk mereka!

Air mata yang bersisa di pipi, aku seka dengan tapak tangan. Lantas aku berlalu ke kamar. Segala-galanya harus dinoktahkan. Seakan baru mendapat semangat baru, aku mengemas barang-barangku. Mahu segera pulang ke Pulau Pinang. Mahu belajar dengan lebih tekun. Aku mahu menghabiskan master aku dalam tempoh setahun saja seperti yang dirancang. Aku juga mahu menyelesaikan segalanya dengan Khalid. Andai Khalid rela untuk menunggu aku, aku akan menerimanya. Namun jika yang Khalid mahukan adalah yang sebaliknya, maka aku dengan rela hatinya akan mengundurkan diri. Tiada yang utama dalam hidup aku selain membahagiakan Ayah dan Emak. Itu janji aku.

^^^^^^^

            Setahun berlalu. Siapa sangka, aku bakal menamatkan pengajian dengan cemerlangnya? Dan orang yang paling gembira, sudah tentu Ayah dan Emak. Senyuman yang tergaris di wajah mereka adalah bukti, betapa mereka benar-benar merasa bahagia dan bangga dengan pencapaian memberangsangkan itu.

            Dan siapa sangka, rupanya Khalid tulus ikhlas mencintaiku! Katanya, aku cinta pertama dan terakhirnya. Dan dia sanggup menungguku walaupun umurku bakal mencecah 100 tahun! Ah, lelaki itu benar-benar pencinta yang hebat! Pengorbanannya dan kesetiaannya tak dapat aku beli dimana-mana. Dia benar-benar jodoh yang diutuskan dari Tuhan untukku. Dan aku merasakan ini adalah hadiah dari Tuhan atas sebab aku membahagiakan kedua malaikatku sedayaku.

            Bukan hanya itu, aku masih ada satu lagi berita baik! Oleh kerana keputusanku yang cemerlang di dalam pelajaran, aku telah dilamar untuk bekerja di sebuah syarikat pembinaan swasta di ibu kota. Gembira hati tak terkata. Bila ku khabarkan soal itu pada Ayah dan Emak, mereka cuma diam. Hanya senyum lebar yang terukir di wajah keduanya. Meski hanya senyuman, sungguh aku merasa bahagia dan tenang. Kerana aku tahu, mereka benar-benar gembira! Benar. Inilah kebahagiaan dan ketenangan yang diberikan Tuhan. Ya Rabbi, aku bersyukur pada limpah kurnia dan rahmat-MU…

            “Bila kita boleh kahwin?” Soalan Khalid mematikan lamunanku. Khalid turut bekerja dalam syarikat yang sama, memandangkan kami mengambil bidang yang sama. Berjodoh sungguh, sampaikan dapat kerja pun di tempat yang sama!

            Soalan Khalid ku biarkan tak berjawapan. Hanya pandangan penuh makna ku sorotkan ke wajahnya. Khalid senyum nakal. Cuba menggodaku barangkali. Ah, lelaki yang seorang ini! Suka benar membuatku penasaran.

            “Bila kita boleh kahwin?” Soalnya sekali lagi.

            “Dua tahun lagi.” Balas ku, bercanda dalam reaksi serius. Dan dapat ku lihat riak wajahnya berubah.

            “Lamanya…” Keluh Khalid. Namun, apa lagi pilihan yang dia ada selain menunggu?

Aku curi-curi senyum. Sengaja mahu mengenakan dia. 

“Jadi tak Khal nak ikut Nurul balik kampung? Nak tolong Nurul buat kejutan untuk Ayah?” Soalku pada Khalid.

Khalid cuma senyum, lantas mengangguk kecil. Sengaja aku libatkan Khalid, supaya aku berpeluang untuk mengenalkan dia dengan Ayah dan Emak. Biar mereka kenal siapakah gerangannya yang telah mencuri hatiku. Aku senyum lebar sampai ke telinga. Memikirkan kejutan yang bakal aku beri untuk Ayah. Pasti ayah terkejut. Tak sabar rasanya nak menunggu hari itu tiba! Hatiku bernyanyi riang. 

^^^^^^

            “Ada apa kejut Ayah pagi-pagi buta ni?” Soal Ayah tatkala aku beria-ria membangunkan Ayah yang tertidur di tengah laman rumah selepas selesai solat subuh pagi tadi. 

            Aku diam saja. Tak menjawab. Biar Ayah lihat sendiri. Ku kalih pandangan pada Emak. Dia hanya tersenyum simpul. Maklumlah sudah tahu akan kejutan yang rancang untuk Ayah.

            Ayah bangun dalam kemalasan. Perlahan mengikut ke mana arah dia ditarik. Elok sahaja Ayah berdiri di muka pintu, Khalid memandu masuk Kereta Kancil yang ku beli khas untuk Ayah ke halaman rumah. Sengaja aku pilih Kancil, kerana bagiku kenderaan itu benar-benar memberi erti yang besar dalam kamus hidup aku. Kerana kereta itulah yang disebut Ayah. Kereta itu jugalah yang mendorongku untuk menjadi aku yang hari ini.

            Ayah memandang sekilas ke arahku. Aku cuba untuk senyum selebar-lebarnya. Biar di hati mula serasa sebak, mahu menangis. Ku lihat Ayah juga begitu. Ada cairan jernih bergenang di lopak matanya.

            “Ini Kereta Kancil, Nurul belikan sebagai hadiah untuk Ayah…” Ujarku dengan suara separuh keluar, separuh tidak. Hatiku begitu sebak. Aku menjarakkan diri dari Ayah, memberi ruang kepada Emak untuk mendekati Ayah. Ayah segera memeluk Emak. Tika itu, aku lihat air mata yang bergenang di lopak mata Ayah, mengalir laju menuruni pipinya. Emak juga begitu.

            “Maafkan Nurul, Ayah. Terpaksa mengambil masa yang begitu lama, untuk memberi Ayah hadiah sekecil ini…” Ujar aku, tersedu-sedan. 

            Tak disangka-sangka, Ayah meluru, mendakap aku semahunya. Dahiku dicium, terasa kembali kehangatan yang sudah hilang dariku berbelas tahun yang lalu. Selepas Ayah, emak pula memelukku. Benar, tiada yang ku inginkan saat ini, selain dari kebahagiaan yang diperoleh setelah membahagiakan kedua malaikatku itu!

Aku sebenarnya malu untuk menangis sebegini, namun tidak ada salahnya andai aku lampiaskan segala rasa yang berdetak kuat di hati ku saat ini! Aku mahu serasa bebas. Aku mahu serasa lega!

            Dengan mata berlinang dengan air mata, aku membuang pandang pada Khalid yang berdiri di bawah sambil memandangku penuh makna. Tambah malu kerana dia melihat muka ku yang buruk dek menangis sakan ini, tapi aku sudah tak peduli. Paling tidak, dialah orangnya yang bakal menjadi pengantinku di pelamin nanti. Untuk apa aku harus malu?

            “Siapa tuh?” Tanya Emak padaku. Ku lirik ke wajah Ayah, dia juga seakan mahukan penjelasan.

            “Ka…kawan sekerja mak, Ayah… Encik Khalid.” Balas ku acuh tak acuh. Masih tak berani untuk memperkenalkan Khalid sebagai buah hatiku. Biarlah dulu. 

            “Eh, jemputlah dia naik…” Suruh Emak. Ku kerling sekilas pandangan ke arah Emak. Dia senyum penuh makna. Aku rasa, dia masih ingat akan perihal Khalid. Khalid yang pernah aku ceritakan dulu.

Aku menurut saja. Kasihan pula membiarkan Khalid seorang diri di bawah. Pasti dia tak puas hati dengan ku nanti! Bergegas aku menuruni anak tangga. Mahu menjemput Khalid naik ke teratak burukku.

            “Amboi…Berpeluk sakan dengan mak ayah dia, buah hati duk tercongok kat sini, dia buat tak tahu aje…” Ujar Khalid. Nadanya seakan merajuk.

            “Ala, Khal… Sorry okay?” Pujukku dengan suara yang sedikit sengau. Maklumlah, beru lepas menangis. Terasa masih ada lendiran yang melekat di rongga hidungku.

            “Khal tahulah! Khal main-main saja tadi!” Celahnya riang. Pantas saja tangannya mencuit hidungku yang masih memerah.

“Opsss! Tak berlapik!” Ujar Khalid lagi. Hujung kain tudungku dicapainya, lantas hidungku sekali lagi dicuit. Kali ini berlapik.

Aku menjerit geram. Namun dia hanya ketawa. Tak lama, aku turut ikut ketawa. Dan aku serasa bahagia. Benar-benar bahagia saat ini. Cukup cuma ada Ayah, ada Emak, dan Khalid. Aku sudah benar-benar bahagia.

Terima kasih Tuhan, atas kurniaan rahmat-MU dan kesempatan yang KAU berikan padaku untuk membahagiakan orang tuaku. Segalanya tak terbanding dengan apa pun yang ada di dunia ini…

^^^^^^

Diari hati seorang anak.
IKHLAS, AKU.
Friday, October 14, 2011
0304.
^^^^^^     
P/s:

 cerpen pertama yg sy tulis dlm lappy.
dulu2 pnh la tulis, tp dlm buku..mse tuh takde laptop lagi..muahahahaah!
mtk maaf kalau ade salah, sy jarang tulis cerpen..kalau ada yg perlu diperbetulkan, jgn segan silu tegur..
but actually, this...is truly coming from the botton of my heart..(:
 
I'm writing with my heart, it's not just an ordinary story, it's all about love.
 read it, feel it. 
adios~!
    
           


5 comments:

Anonymous said...

sedihnya..mengalir air mata sya baca cerpen nie..anyway..cita ni best..teruskan berkarya ya kak..

RinsyaRyc said...

best.. ><

--->tingat kat arwah ayah tetiba..

far zana azman said...

Sedih sgt.. Ble feel lgi sedih.. But, citer nih best sgt2.. Huhu~

sYnystEralExGatEs said...

Anynomous: terima kaseh sbb menghayati apa yg benar2 sy nak sampaikan..


RinsyaRyc: Al-Fatihah untuk arwah ayah ya..

Far zana: terima kaseh atas sokongan anda..yang baik kita jadikan teladan, yg buruk kita sama2 jadikan sempadan..(:

Nurfazila Suhaide said...

sedihnya...huhu..